(Video) Buo Noi, Kisah Tekanan Seekor Gorila Terpenjara Lebih 30 Tahun Dalam Zoo Paling Menyedihkan Di Dunia

  1. Beberapa keping gambar dan rakaman video mengejutkan tersebar di media sosial sekaligus mendedahkan realiti sebenar berlaku dalam sebuah zoo yang digelar sebagai paling menyedihkan di dunia, di Thailand.

Rakaman video yang sangat mengganggu itu menunjukkan beberapa haiwan antaranya seekor gorila melilau-lilau di dalam sangkarnya akibat tekanan, seokor kucing liar yang dilihat mundar-mandir dan cuba mencari jalan keluar serta seeokor biri-biri yang melanggar dinding sebuah sangkar yang agak kecil buatnya.

Selain itu, beberapa gambar yang tersebar termasuklah burung-burung Hornbil yang sepatutnya terbang bebas di Afrika, seekor ferret yang terperosok di penjuru dinding dan tidak menyentuh makanannya, dan monyet-monyet albino yang kelihatan seolah-olah cuba meminta bantuan daripada pengunjung-pengunjung zoo tersebut.

Lebih teruk, zoo tersebut tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik selain memerlukan dana untuk memperbaiki keadaan zoo tersebut yang dilihat agak menjijikan, dedah seorang wartawan bebas yang bertanggungjawab mengambil rakaman tersebut.

Rakaman tersebut diperoleh hasil kunjungan yang dibuat oleh Julian King ke zoo tersebut, Zoo Pata di Bangkok.

”Zoo tersebut terletak di bahagian paling atas sebuah pusat membeli belah dan ada haiwan-haiwan ini sudah dikurung sejak 30 tahun yang lalu.

”Buo Noi (gorila) -bermaksud Lotus Kecil di dalam bahasa Thailand- misalnya telah berada dalam kurungan tersebut sejak 1983. Haiwan tersebut tidak pernah menjejakkan kaki di luar kurungan sejak dari itu lagi.

”Undang-undang perlindungan haiwan seolah-olah tidak wujud di Thailand, dan jika ada pun ia terlalu lemah, membuatkan undang-undang tersebut tidak dapat dikuatkuasakan,” kata Julian.

Buo Noi misalnya telah ditangkap dan dibawa keluar daripada habitat semula jadinya sejak kecil lagi, dan haiwan tersebut hidup sendirian buat sekian lama.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal tersebut sedang melakukan beberapa tindakan bagi mengatasi masalah tersebut. Pada tahun 2015, media Thailand melaporkan bahawa pemerikasaan ke atas zoo tersebut mendapati pemiliknya tidak mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan Thailand.

Pemilik zoo tersebut kemudian diarahkan untuk memindahkan semua haiwan tersebut ke tempat yang lebih baik, namun apa yang menyedihkan, sehingga kini Bu Noi masih lagi terpenjara dalam sangkar yang sama.

Pendedahan yang dibuat oleh Julian bukan kali pertama berlaku. Pada Februari yang lalu, seorang jurugambar hidupan liar, Aaron Gegoski turut melawat Zoo Pata dan membuat pendedahan yang mengejutkan.

”Di luar (habitat asli), orang hutan adalah makhluk yang sangat menyendiri dan menghabiskan masa yang sedikit di atas tanah. Malah, haiwan-haiwan ini turut membuat sarang dan tidur di tempat tinggi kanopi. Untuk melihat haiwan-haiwan ini seperti ini, ia sangat tidak semula jadi buat orang utan.

”Ianya sangat suram, kotor dan tempat yang sangat menyeksakan untuk dilawati. Keadaannya seolah-olah terjadi suatu bencana dahsyat disitu,” dedah Aaron lagi.

Pada tahun 2014, Thailand memperkenalkan undang-undang baru bagi melindungi kebajikan haiwan, namun ia tidak dikuatkuasakan sepenuhnya. Malah, dalam jangka masa yang sama, pemilik Zoo Pata berjaya memperbaharui lesen operasinya, sekaligus mencetuskan kemarahan pecinta-pecinta haiwan.

Pengarah zoo tersebut, Kanit Sermsirimongkol pernah mengeluarkan kenyataan angkuh yang ditujukan kepada aktivis-aktivis yang mendesak kerajaan Thailand menuntup operasi zoo tersebut.

”Kami menggelarkan mereka (aktivis) sebagai lok-suay (optimis buta), orang-orang yang cetek pemikiran yang beranggapan haiwan-haiwan ini tidak sepatutnya dikurung sebegini.

”Gorila itu kelihatan sedih kerana memang itulah tingkah lakunya. Dengan hanya melihat gambar-gambar di internet, mereka terus menganggap bahawa haiwan tersebut berada dalam tekanan,” katanya kepada Bangkok Post.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, aktivis-aktivis ini tetap yakin suatu hari nanti Zoo Pata bakal ditutup juga.

”Zoo Pata adalah satu penghinaan kepada semua zoo-zoo yang beroperasi dengan sah dan baik di Thailand,” kata Edwin Wiek, pengasas Yayasan Rakan Hidupan Liar Thailand.

”Kebajikan haiwan dan operasi Zoo Pata jauh lebih rendah daripada standard yang ditetapkan oleh Thailand. Jika diikutkan sejarahnya, zoo tersebut dibina oleh penjual haiwan liar secara haram dan kemudahan ini tidak lagi sesuai untuk tahun 2018.

”Kami tidak sabar mahu melihat zoo ini ditutup,” katanya.

 

Sumber : Dailymail