Terkini Perkembangan Tujuh Remaja Disyaki Terbabit Kebakaran Pusat Tahfiz

KUALA LUMPUR – Tempoh reman tujuh remaja disyaki terlibat dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini, disambung tujuh hari lagi mulai Sabtu sehingga 29 September.
Tempoh reman suspek berkenaan yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api, berakhir kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Md Isa ketika dihubungi berkata: “Kami dapatkan perintah daripada mahkamah untuk sambung reman bagi membantu siasatan yang dijalankan.”
Seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas se bagai warden pusat tahfiz itu maut apabila asrama yang terletak di tingkat tiga bangunan pusat tahfiz itu terbakar pada lebih kurang jam 5.15 pagi pada 14 September lalu.
Susulan kejadian tragik itu, polis menahan tujuh remaja berusia 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan kes kebakaran pusat tahfiz itu dan kesemua mereka direman tujuh hari sejak 16 September lalu.
Pusat tahfiz sesak, terus dikunjungi. Walaupun sudah lebih seminggu kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berlaku, namun orang ramai dilihat masih berpusu-pusu mengunjungi tapak lokasi terbabit bagi melihat dengan lebih dekat kesan kejadian itu.
Tinjauan Sinar Harian sekitar jam 11 pagi Jumaat lalu di pusat tahfiz terbabit, keadaan di Jalan Keramat Ujung dilihat sesak dengan kenderaan dan orang awam walaupun kelmarin merupakan cuti Awal Muharam.
Malah, kelihatan juga beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama hadir ke lokasi kejadian terbabit bagi memberi sokongan moral dan bantuan kepada anggota keluarga pusat tahfiz berkenaan.
Selain itu, orang awam yang hadir juga dilihat tidak me lepaskan peluang untuk mengambil gambar bangunan pusat tahfiz itu yang mengalami kebakaran di tingkat tiga.
Penagih lari ke kawasan lain. Gejala penagihan dadah di sekitar kawasan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, semakin berkurangan sejak kejadian kebakaran tersebut berlaku baru-baru ini.
Tinjauan Sinar Harian di Taman Rekreasi Datuk Keramat bersebelahan pusat tahfiz terbabit mendapati, majoriti penduduk setempat mengakui aktiviti tidak bermoral itu berkurangan.
Menurut seorang penduduk, Muhammad Ibrahim Abu Talib, 33, sejak kejadian itu berlaku, kebanyakan penagih yang ingin melepaskan gian telah menukar lokasi mereka dan tidak lagi menjadikan kawasan itu sebagai port menghisap dadah.
“Kawasan taman rekreasi ini memang lokasi mereka hisap dadah dan hidu gam, tapi lepas kejadian itu (kebakaran), semua dah keluar dan cari port lain,” katanya.
Sebelum ini, polis menahan tujuh remaja disyaki terlibat membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan enam daripada mereka didapati positif dadah.
Mengulas lanjut, Muhammad Ibrahim berkata, apa yang lebih mengejutkan, terdapat ramai remaja bawah umur terlibat dengan kegiatan dadah di kawasan berkenaan sebelum ini.
Katanya, selain menghisap dadah, kegiatan hidu gam juga aktif di kawasan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
“Apa yang jadi persoalan sekarang, macam mana budak-budak ini boleh dapat stok dadah?,” soalnya.
NORHIDAYATI
Peniaga berhampiran taman rekreasi tersebut, Norhidayati Ali Fauzi, 49, pula berkata, dia pernah menegur sekumpulan remaja bawah umur melepak di kawasan itu sebelum ini, namun mereka menjawab dengan kata-kata kesat dan kasar.
Disebabkan itu, katanya, kebanyakan penduduk takut untuk menegur.
“Mereka akan lepak di sini dari petang sampai awal pagi dan pada waktu itulah mereka akan hisap dadah.
“Kebiasaannya, mereka lepak di pondok dan kereta terbiar di sini untuk lepaskan gian,” katanya.
Pondok di kawasan taman rekreasi ini juga sering menjadi port bagi menghisap dadah.
Pengawal keselamatan taman rekreasi itu, Hamat Zahidin, 45, berkata, dalam tempoh seminggu sejak insiden kebakaran itu berlaku, kawasan berkenaan sudah tidak lagi menjadi tumpuan bagi kegiatan penagihan dadah dan menghidu gam.
“Saya tak pasti lepas ini kawasan tasik ini masih dijadikan port atau tak. Mungkin hanya sementara waktu.
“Saya mohon pihak polis dan Jabatan Agama Islam pantau kawasan rekreasi ini. Tambahnya, kawasan taman rekreasi itu juga sering kali menjadi sarang maksiat pada waktu malam,” katanya.
Botol gam yang ditinggalkan berdekatan kereta lusuh di taman rekreasi tersebut.
Antara kereta lusuh yang ditinggalkan di taman rekreasi tersebut.
Sumber: http://www.gpsbestari.com