Terima Sumbangan Dari Puteri UMNO. Najib Sebak Bila Melihat Jumlah Yang Dikumpul

PETALING JAYA: Ahli Umno terus memberi sumbangan untuk membantu Datuk Seri Najib Razak membayar ikat jamin RM1 juta dan terbaru datang daripada Wanita Umno.

Sekumpulan pemimpin dan ahli Wanita Umno, termasuk Nurulhidayah yang merupakan anak Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sumbangan kepada bekas perdana menteri itu di rumahnya hari ini.

“Hanya 2 hari kutipan tabung dilancarkan, ia berjaya kumpul sebanyak RM254,000. Alhamdulillah. Semoga dipermudahkan urusan Najib esok,” tulisnya di Instagramnya.

Sebuah video yang dimuat naik Nurulhidayah menunjukkan bekas presiden Umno itu sebak apabila menerima sumbangan daripada Wanita Umno.

“Tersentuh hati saya. Terima kasih,” kata Najib dengan sebak ketika menerima sumbangan daripada Wanita Umno sambil ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad memulakan sebuah tabung bagi membantu Najib membayar wang jaminan itu dan lebih RM200,000 dkutip dalam 2 hari selepas ia dilancarkan.

Rabu lalu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan, di mana RM500,000 dibayar pada hari itu dan baki sebelum 3 petang Isnin ini, bersama 2 penjamin.

Dua anaknya, Norashman dan Nooryana Najwa membayar ansuran pertama RM500,000 pada petang Rabu lalu.

Nurulhidayah berkata, beliau pernah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar “kemanusiaan dalam menuntut keadialan” ketika timbalan perdana menteri itu dipecat dari Kabinet pada 1998.

“Hari ini, atas dasar kemanusiaan saya, suami dan madu saya bersama-sama Wanita Umno ke kediaman Najib untuk menyerahkan wang hasil kutipan Wanita Umno sebagai wang jaminan mahkamah. Semoga ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung Najib sekeluarga.”

Beliau turut meminta rakyat tidak mengadili atau menghina Najib, walaupun jika ahli Parlimen Pekan itu pernah melakukan kesalahan.

“Bagi saya, biarlah beliau diadili (mahkamah) dengan seadil-adilnya. Suka atau tidak perlu diakui beliau pernah menjadi perdana menteri Malaysia yang telah sedaya upaya berkhidmat untuk kita semua. Adapun khilaf yang berlaku, tidak layak untuk kita menghukum, apa lagi menghina.”

SUMBER : FREE MALAYSIA TODAY