Tak mengaku benam kepala budak dalam baldi

LELAKI didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia dua tahun pada tahun lalu.

Tertuduh, Mustaqim Ab Wahab, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mustaqim didakwa dengan sengaja membenam kepala Fatini Aleysha Abd Karim ke dalam baldi berisi air sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Kompleks Perdagangan DWJ Meru, di sini antara 4 hingga 5.41 pagi pada 24 Mei tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman, manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu.

Julie Lack kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

NSTP pada 25 Mei 2017 melaporkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lemas selepas terjatuh ke dalam baldi di pejabat teman lelaki ibunya di Meru, di sini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, Fatini Aleysha disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat terjatuh ke dalam baldi.

Kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang mahu membuang air besar dibawa ke tandas oleh teman lelaki ibunya berusia 31 tahun manakala ibunya berumur 41 tahun menunggu di kereta.

Sumber :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/357005/tak-mengaku-benam-kepala-budak-dalam-baldi-metrotv#cxrecs_s

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 11:52 AM