Suara hati Remy Ishak.

SEJAK mengikat tali pertunangan dengan ahli perniagaan berasal dari Pahang, Ezza Yusof April lalu, jejaka bernama Remy Ishak ini sering menjadi perhatian bagi berkongsi tentang persiapan menuju gerbang bahagia.

Akan tetapi percubaan demi percubaan untuk mendapatkan kenyataan daripada empunya diri tidak berhasil memandangkan Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak lebih selesa untuk tidak menggembar-gemburkan perihal peribadi.

Namun itu dulu. Kini nampaknya aktor kacak berkulit hitam manis ini semakin terbuka memperkatakan kisah peribadi itu dan ini terbukti pada pertemuan dengannya yang kini mempromosikan drama siri mini Do(s)a tempoh hari.

Telahan awal sudah pasti pelakon yang mula mengukir nama menerusi filem Anak Halal ini enggan memberikan sebarang komen dan tetap dengan prinsipnya tetapi sangkaan itu meleset sama sekali.

Meja bulat di sebuah hotel di ibu negara menjadi saksi yang jejaka berusia 35 tahun itu lebih senang untuk membuka mulut dan membuat pengakuan tentang hubungan cintanya dengan Ezza buat pertama kali.

Seperti insan lain yang ingin mendirikan ‘masjid’ dan membina keluarga bahagia, begitu jugalah impian jejaka pujaan ramai wanita ini. Berbicara tentang bakal suri hatinya dan persiapan menjelang bahtera yang bakal dikepalai, Remy mengakui, buat masa ini dia sedang mengukuhkan ekonomi kewangannya.

“Kumpul duit dululah… Saya bukannya kaya sangat. Saya ini orang biasa-biasa saja. Projek lakonan dengan karya yang bagus pun bukannya selalu saya peroleh, sebab itulah saya kena cari dan kumpul duit.

“Lagipun latar belakang saya bukannya daripada keluarga yang senang, jadi sekarang kumpul dahulu wang dan serahkan segala-gala perancangan kepada keizinan Tuhan untuk tentukan masa yang tepat kerana saya selalu percaya kepada jodoh.

“Saya nak kahwin pun bukannya nak buat majlis besar-besaran pun. Kalau boleh saya cadang nak pacak khemah buat kenduri depan rumah sahaja,” bicaranya.

Bersyukur kerana tidak didesak untuk segera mendirikan rumah tangga malah dia juga lega apabila pihak sebelah tunangnya juga amat memahami keadaan dirinya ketika ini.

Yang jelas, kata Remy, dia masih belum memutuskan tentang tarikh pernikahan malah perincian mengenai hal perkahwinan masih belum dibincangkan lagi.

“Dugaan bertunang itu yang seronok nak harungi bersama-sama. Saya positif saja apabila orang cakap fasa bertunang 
ini banyak rintangan. Dia (tunang) kena faham kerana saya banyak tanggungjawab dengan kerjaya.

“Dia pun tak mendesak untuk lekas berkahwin dan sebagainya. Perkara ini kena profesional dan segala-gala keputusan tentang hal kahwin terletak di tangan saya,” jelasnya.

Dan menjawab spekulasi tentang dakwaan yang tunangnya seorang janda beranak satu, Remy berharap kenyataan yang dikeluarkannya ini akan menjawab persoalan serta menjernihkan semula keadaan.

Tidak mahu cepat melatah namun sekeping foto yang memaparkan tunangnya bergambar dengan seorang kanak-kanak lelaki yang dimuat naik di laman sosial Instagram menjadi tular dan bualan netizen.

“Sebelum ini saya sedar ada gosip mengatakan tunang saya merupakan seorang janda. Tetapi sekarang ini orang cakap dia (pernah) berkahwin dan ada seorang anak sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

“Saya selalu berpesan kepada tunang saya agar tak melayan gosip-gosip sebegitu kerana tidak mahu nanti diri sendiri yang akan tertekan.

“Malah saya pesan kepadanya supaya tidak membuka mulut memberikan sebarang kenyataan kerana dia bukan seorang selebriti.

“Saya tak mahu dia terlibat dalam dunia ini. Dia tak perlu keluarkan sebarang kenyataan yang dirasakan kurang sesuai untuk dikongsi. Dunia sekarang sangat bahaya, kadang kala orang suka mengecam kita sesuka hati tanpa sebab konkrit.

“Saya bukan bersikap mengongkong atau garang terhadap dia tetapi apa-apa perkara perlukan perbincangan terlebih dahulu” tegasnya.

 Gambar NOORADZRENE MOHAMMED NOOR

Sumber: utusan online