‘Saya minta maaf…Arwah (umpama) memberi kami nyawa baharu..’

KUALA TERENGGANU: “Arwah (umpama) ‘memberi’ kami nyawa baharu. Saya meminta maaf kepada keluarga arwah kerana mereka kehilangannya ketika menyelamatkan kami,” kata Nurdiana Alwani Jaafar, 33, dalam tangisan.

Nurdiana Alwani ialah antara lima mangsa di dalam kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm yang terjunam ke muara Sungai Terengganu, malam kelmarin, sebelum Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, dan beberapa individu lain terjun untuk menyelamatkan mereka.

Beliau berkata, hanya Allah SWT dapat membalas jasa Abdul Bari Asyraf yang lemas dalam kejadian itu dan mayatnya ditemui pada jam 7.23 pagi tadi.

Selepas menyelamatkannya bersama anak dan ibu tiri, beliau berkata, Abdul Bari Asyraf bertanya masih ada berapa mangsa sebelum terjun semula ke sungai.

“Arwah seolah-olah mahu menyelamatkan kami sekeluarga tanpa memikirkan dirinya walaupun dia kelihatan sangat letih.

“Jika arwah masih hidup, saya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menyelamatkan kami.

“Saya memang perasan arwah adalah orang pertama terjun menyelamatkan kami sejurus kejadian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Terdahulu, Nurdiana Alwani turut meminta maaf kepada ibu Abdul Bari Asyraf, Masitah Awang, 60, atas kejadian itu.

Masitah (kiri) tidak menyimpan perasaan marah pada keluarga Nurdiana Alwani kerana menganggap kejadian itu adalah ketentuan Ilahi.

Sementara itu, Masitah pula berkata, beliau tidak menyimpan perasaan marah pada keluarga berkenaan kerana menganggap kejadian itu adalah ketentuan Ilahi.

“Makcik tidak marah. Semua itu sudah ketentuan dan makcik reda dengan pemergian arwah dalam cara seperti itu,” katanya

Ketika ini, tiga mangsa daripada lima sekeluarga terbabit, iaitu Suryati Rusly, 37; Asmaa Rusly, 23, dan Iman Nur Hana Luthfia Muhamad Amiruddin, 3, masih menerima rawatan di HSNZ serta dilaporkan stabil.

Seorang lagi mangsa, Syafawani Syazwani Jaafar, 11, sudah dibenarkan pulang pada petang semalam, manakala Nurdiana Alwani pula dibenarkan keluar pagi tadi.

Sumber : Harian Metro