Rody (Kristal) Kini Suami Penjaga Gol Futsal Kebangsaan

GITARIS kumpulan Kristal iaitu Rody selamat bergelar suami kepada pengaja gol futsal kebangsaan, Nur Izwani Azman dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan pada malam Jumaat.

Rody atau Mohd Rodi Baharudin, 32, dan Nur Izwani, 31, dinikahkan oleh jurunikah Nazlee Abdul Razak pada majlis yang diadakan di Hotel Kulai, Johor.

Pada majlis itu, Rody, menyediakan mas kahwin sebanyak RM111 manakala wang hantaran sebanyak RM11,111.11.

Rody berjanji akan menjaga dan menyayangi isterinya dengan baik.

Nur Izwani atau lebih mesra dengan sapaan Deqno turut menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki dan dibalas dengan sembilan dulang hantaran.

Sementara itu, pasangan itu diraikan dalam sebuah majlis kenduri di Dewan Raya Kulai, Johor pada Sabtu.

Rody menerusi Instagram miliknya menyifatkan perkahwinannya itu sebagai hari bersejarah buat dirinya dan berjanji akan menjaga dan membimbing isterinya dengan baik.

Rody dijulang rakan-rakannya selepas sah bergelar suami.

“Alhamdulillah… hari ini hari bersejarah buat hidupku. Dengan sekali lafaz aku telah menjadi suami @niena_azmann.

“Buat isteri yang tercinta, Insya-Allah I akan jaga dan bimbing sayang,” tulisnya.

Sebelum ini, Nur Izwani memberitahu dia terbuka hati menerima Rody kerana gitaris itu bukan seorang lelaki yang suka ‘mengayat’.

 

Rody sah bergelar suami dengan sekali lafaz.

Katanya, Rody adalah lelaki pertama yang benar-benar berani untuk melamarnya berbanding lelaki lain yang hanya manis mulut.

Rody sebelum ini melamar Nur Izwani menerusi Instagram dan mencabar Nur Izwani mengulang siar (repost) status mesejnya itu jika dia sudi menjadi isterinya.

Cabaran itu akhirnya disambut oleh Deqno dan peminat mereka mula mengucapkan tahniah pada status yang dikongsi.

Sumber : mstar