“Pesawat itu menghadapi masalah teknikal”-“Ketua Pegawai Eksekutif Lion Air, Edward Sirait akhirnya dedah apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat sebelum terbang

 

SINGAPURA/JAKARTA: Pesawat Boeing 937 MAX Lion Air kelihatan terumbang-ambing, hampir mendatar dengan muncungnya agak menjunam ketika terhempas ke dalam laut di Tanjung Kerawang, Isnin lalu.

Menurut dua nelayan menyaksikan kejadian itu, kedengaran letupan ketika muncung pesawat menjunam ke dalam laut sebelum kelihatan kepulan asap.

“Dari jauh saya nampak ia sudah condong (menjunam)” kata seorang nelayan terbabit, Gauk.

Berdasarkan rekod FlightRadar24, pesawat berkenaan terbang dalam keadaan tidak menentu dari Bali ke Jakarta pada malam sebelum hari kejadian.

Beberapa minit selepas berlepas dari Denpasar di Bali pada petang Ahad, pesawat berkenaan terbang pada ketinggian serta kelajuan tidak menentu

Ia turut mencatatkan penurunan ketinggian mendadak sebanyak 266 meter dalam tempoh 27 saat ketika ia sepatutnya terbang menaik sebelum stabil dan meneruskan perjalanan ke Jakarta.

Juruterbang bagaimanapun mengekalkan ketinggian pesawat pada 8,534 meter berbanding 10,973 meter bagi penerbangan laluan yang sama sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lion Air, Edward Sirait, mengakui pesawat itu menghadapi masalah teknikal ketika penerbangan dari Denpasar ke Jakarta namun ia diselesaikan ‘mengikut prosedur’.

Pesawat itu mendarat di Jakarta pada jam 10:55 malam waktu tempatan Ahad lalu, membolehkan jurutera mempunyai masa enam jam setengah untuk memeriksanya sebelum pesawat berlepas ke Pangkal Pinang pada 6.20 pagi, Isnin.

Pesawat itu terhempas ke dalam laut beberapa minit selepas berlepas menyebabkan 189 penumpang serta anak kapal terbunuh.

FlightRadar24 turut melaporkan kelajuan dan ketinggian pesawat Penerbangan JT610 itu yang luar biasa selepas berlepas.

Gambar log penyelenggaraan pesawat berkenaan ketika pemeriksaan di Jakarta tersebar di Internet sejak semalam, namun ia tidak dapat disahkan tulen atau tidak.

Sirait enggan memberitahu masalah teknikal atau penyelenggaraan yang dilakukan di Jakarta namun memberitahu pihaknya sudah menyerahkan log berkenaan kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC).

Pengerusi NTSC, Soerjanto Tjahjono, berkata ada persamaan antara log penyelenggaraan yang beredar di Internet dengan log yang diterima daripada Lion Air namun menurutnya, beliau belum menelitinya.

Menurut Reuters, sumber juruterbang dan jurutera menyatakan, berdasarkan data FlightRadar24 bagi kedua-dua penerbangan, ia menunjukkan pesawat berkenaan menghadapi masalah dalam sistem ‘pitot’ statik iaitu alat membekalkan ukuran kelajuan dan ketinggian pesawat kepada komputer penerbangan.

Menurut data FlightRadar24, pesawat berkenaan menunjukkan masalah dua minit selepas berlepas dari Jakarta apabila ia mencapai ketinggian 610 meter.

Ia menurun lebih 150 meter dan condong ke kiri sebelum kembali mendaki ke 1,525 meter.

Pesawat kemudiannya terbang laju pada saat-saat terakhir sebelum terhempas mencapai kelajuan 345 knots (638 km/j) sebelum hilang dari radar pada ketinggian 1,112 meter.

“Enjin berbunyi ganjil”

KUALA LUMPUR: Seorang pengacara televisyen Indonesia, Conchita Caroline mendedahkan pesawat Lion Air JT610 yang terhempas pagi Isnin lalu sudah mengalami beberapa masalah ketika dia menaiki penerbangan itu dari Denpasar ke Jakarta, sehari sebelum kejadian.

Pengacara TransTV itu berkata, dia bersama beberapa kru stesen berkenaan menaiki pesawat JT610 dari Bali ke Jakarta pada malam Ahad lalu sebelum ia terhempas ketika meneruskan penerbangan ke Pangkal Pinang pada pagi Isnin.

Hasil semakan Harian Metro mendapati pesawat sama dengan nombor pendaftaran PK-LQP jenis Boeing 737 MAX 8 digunakan untuk penerbangan Denpasar ke Jakarta pada jam 7.30 petang yang sudah mengalami masalah teknikal seperti didedahkan Conchita.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Flightradar 24, pesawat itu digunakan untuk penerbangan Denpasar ke Jakarta pada 28 Oktober iaitu sehari sebelum nahas dan mengalami kelewatan kira-kira dua jam berikutan masalah teknikal.

Hasil semakan juga mendapati pesawat dengan nombor pendaftaran sama digunakan untuk penerbangan Jakarta ke Pangkal Pinang menggunakan kod penerbangan JT610 sebelum terhempas kira-kira 13 minit sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Conchita yang menceritakan pengalaman itu dalam Instagramnya memberitahu, mengikut jadual penumpang perlu menaiki pesawat itu pada jam 6.15 petang tetapi tergendala akibat masalah teknikal sebelum dibenarkan masuk pada jam 7.30 malam.

Katanya, apabila semua penumpang masuk ke dalam kabin, enjin pesawat itu beberapa kali mati dan penyaman udara juga tidak berfungsi menyebabkan beberapa kanak-kanak menangis kerana kepanasan.

“Ketika pesawat itu bergerak ke landasan ia tiba-tiba berhenti sebelum berpatah balik ke parkir atas masalah teknikal yang tidak diberitahu kru.

“Pesawat berada di parkir selama 30 minit dengan keadaan panas kerana penyaman udara tidak berfungsi. Ada anak kecil yang menangis dan muntah kerana kepanasan. Enjin pesawat juga berbunyi ganjil dan lantai berasa panas,” katanya.

Menurutnya, dia menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai berkenaan pengesahan pesawat yang dinaiki olehnya bersama rakan lain.

“Bukan saya menceritakan pengalaman untuk merumitkan situasi tetapi apa yang ditekankan adalah kurangnya komunikasi antara kru kabin dan penumpang berhubung kelewatan penerbangan,” katanya.

Conchita berkata, seharusnya jaminan keselamatan diambil kira apabila melihat keadaan pesawat yang sudah keluar parkir dan bersedia untuk berlepas namun terpaksa dibatalkan kerana masalah teknikal.

Beliau berkata, jika pesawat yang dinaikinya bukan pesawat yang digunakan untuk laluan JT610, ternyata banyak pesawat milik Lion Air yang bermasalah dan perkara itu seharusnya dipandang serius oleh syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, selebriti Instagram Indonesia, Aphrodita Mayangsari yang turut menaiki penerbangan dari Denpasar ke Jakarta itu turut menceritakan bagaimana pesawat itu turun dan naik sepanjang perjalanan.

“Pesawat itu beberapa kali turun dan naik seperti mahu terhempas. Beberapa penumpang termasuk rakan saya muntah,” katanya.

Dalam hal sama, BBC melaporkan, log teknikal pesawat mendedahkan panel bacaan kelajuan udara antara kapten dan pegawai pertama tidak sama.

“Mengenal pasti panel peralatan kapten tidak boleh digunakan dan diserahkan kawalan kepada pegawai pertama.

“Sambung NNC (Non Noise Certified) daripada Kelajuan Udara tidak boleh digunakan dan ALT tidak sejajar,” menurut log teknikal itu.

VIDEO: Tragedi Lion Air: Pesawat Sudah Diperbaiki & Diperiksa Sebelum Berlepas

sumber: hmetro