‘Nak terkencing nampak harimau’ -Lelaki ini kongsi detik2 cemas ketika bertembung dengan Pak Belang

 

“HENDAK terkencing pun ada apabila harimau liar muncul secara tiba-tiba di depan mata,” kata Shahrul Azwan Abdul Halil menceritakan detik ketika bertembung dengan harimau di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, hari ini.

Shahrul Hazwan, 27, berkata, ketika kejadian 3.45 petang itu, dia dan tiga rakannya, Wan Kamarul Iznan Wan Ahmad Nazri, Wan Iqbal Fikri Wan Ahmad Nazri dan Wan Noriman Syah Wan Mohd Adat dalam perjalanan dari Kuala Tahan ke Kampung Pagi.

Katanya, apabila tiba di Bukit Dedari, tiba-tiba seekor harimau keluar dari hutan berhampiran untuk melintas jalan raya dilalui mereka.

“Kami semua tergamam dan membiarkannya melintas jalan ke hutan di seberang jalan, kami menghentikan kereta dan tidak membunyikan hon kerana bimbang mendatangkan kemarahannya.

“Ini kali pertama saya lihat harimau liar di depan mata secara ‘live’. Walaupun saya membesar di Taman Negara Kuala Tahan, bukan mudah hendak melihatnya kerana kita tidak tahu bila ia akan muncul,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Shahrul Hazwan yang bekerja sebagai juruteknik lanskap di Pesona Village Resort Taman Negara sempat merakam video kelibat harimau itu yang berdurasi satu minit dan memuat naiknya di Facebook miliknya sehingga menjadi tular.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Ahmad Azhar Mohamed berkata, berdasarkan pemerhatiannya harimau itu adalah dari spesies Harimau Belang atau nama saintifiknya, Panthera Tigris.

“Setakat ini saya belum dimaklumkan mengenai penemuan harimau itu dan hanya mengetahuinya menerusi media sosial, memang Taman Negara Kuala Tahan adalah antara habitatnya.

“Kita akan membuat pemantauan di lokasi untuk dua tujuan iaitu bagi memastikan keselamatan orang ramai berikutan kehadiran harimau.

“Satu lagi adalah demi keselamatan harimau itu sendiri yang mungkin menjadi sasaran pemburu haram kerana lokasinya sudah dikenal pasti dan terdedah,” katanya.

Harimau (Panthera tigris) (juga dipanggil harimau belang atau pak belang) merupakan spesies binatang terbesar di kalangan empat jenis “kucing besar” dalam genus Panthera, dan anggota famili Felidae.[4] Harimau yang berasal dari Asia timur dan selatan ini ialah sejenis haiwan pemangsa dan maging. Subspesies harimau yang lebih besar boleh mencecah panjang 3.3 meter (11 kaki) dan berat 300 kilogram (660 paun).[5][6] Selain kebesaran dan kegagahannya, ciri-ciri terpenting yang dimiliki harimau ialah corak belang menegak berwarna gelap yang melapisi bulunya yang berwarna keputihan atau merah kejinggaan.

Harimau yang mempunyai ciri amat mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, terdapat dari kawasan taiga Siberia, ke padang rumput terbuka, ke paya bakau tropika, antara lainnya. Harimau ialah haiwan yang biasanya gemar bersendiri dan berkelakuan kewilayahan, dan sering memerlukan kawasan habitat yang amat luas untuk menampung keperluan memburu mangsanya. Dan kerana mudah didapati di sebilangan kawasan di dunia yang paling padat kependudukan manusianya, menyebabkan sering terjadinya konflik antara harimau dan manusia. Tiga daripada sembilan subspesies harimau moden sudah diisytiharkan pupus dan enam yang selebihnya digolongkan sebagai terancam. Punca-punca utama harimau terancam ialah kemusnahan dan fragmentasi habitat, dan juga kegiatan memburu. Harimau yang pernah menduduki kawasan-kawasan seluas Mesopotamia dan Caucasus hingga Asia Selatan dan Timur, kini semakin berkurangan bilangannya. Walaupun semua spesies yang masih ada diberi perlindungan undang-undang, namun pemburuan, kemusnahan habitat dan kemurungan pembiakbakaan dalam tetap menjadi ancaman.

Walau apapun, harimau tetap menjadi salah sejenis megafauna berkarisma yang paling terkenal di dunia. Harimau banyak memainkan peranan penting dalam mitos dan budaya rakyat, di samping masih mendapat tempat dalam bidang perfileman dan kesusasteraan moden. Lukisan harimau sering dijumpai pada bendera dan jata negara, sebagai maskot sukan, dan haiwan kebangsaan sebilangan negara Asia, termasuk Malaysia.

VIDEO:

sumber: hmetro, wikipedia