Mujurlah Syatilla Pilih Bersalin Cara Bedah, Kalau Tidak Pasti Muncul Perkara Tak Diduga…

Inilah sebab Syatilla pilih bersalin cara bedah secara tiba-tiba, kalau silap percaturan macam-macam boleh jadi. Rezeki setiap orang tak sama dan dia sendiri mengalami perjalanan kehamilan yang berbeza. Dirinya amat bersyukur ke hadrat Ilahi apabila tidak mengalami sebarang alahan sepanjang mengandung. Pening atau muntah langsung tidak menjengah dirinya sehingga membuatkan dia tidak mampu mengawal nafsu makan. Padahnya hampir 22 kilogram berat badan Syatilla naik.
Bayangkan daripada 50 kg, berat badannya mencapai 72 kg ketika mengandung. Biar pun pada awalnya, dirinya begitu tekad untuk melahirkan anak secara normal, namun di saat akhir kehamilan, terbit rasa bimbang sekiranya dirinya meneruskan niat tersebut.

Rupa-rupanya sejurus bersalinkan Syeriv barulah doktor katakan mujur dirinya bersalin secara pembedahan kerana tali pusat bayinya pendek, air ketuban pula kurang dan kepala bayinya juga besar. Sekiranya dia bersalin normal, pasti sahaja dia alami kesukaran dan akhirnya terpaksa dibedah serta-merta.

“Patutlah tiba-tiba saya terasa tidak sedap hati untuk teruskan niat bersalin normal, rupanya Allah nak bagi saya hint untuk hentikan niat kerana akan muncul perkara yang tidak diduga. Saya bersyukur dapat lahirkan Syeriv yang cukup sempurna.

‘Sesungguhnya Syeriv banyak mengubah hidup saya dan Sam, malah hampir 360 darjah. Serius saya sanggup lakukan apa sahaja untuk Sheriv biarpun mati untuknya asal Syeriv sihat dan selamat. Syeriv adalah anugerah Allah yang tidak pernah saya sangka dan jujur saya katakan nikmat ini terlalu sempurna buat saya dan Sam.”

Sam Jaga Syatilla Dalam Pantang
Selain teruja menceritakan kebahagiaannya bergelar ibu, Syatilla turut menceritakan rutin berpantangnya. Usai bersalinkan cahaya mata pertamanya secara ceaserean pada awal Mei lalu, Syatila mendapat khidmat khusus pusat jagaan berpantang selama dua minggu sebelum kembali ke rumah.

Jika hendak ikutkan hatinya, mahu sahaja dia bersalin secara normal. Namun setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Oleh sebab itu, Syatilla hanya ikutkan saranan doktor yang dirasakan yang terbaik untuknya dan bayi. Dia bersyukur segala yang berlaku berjalan lancar seperti yang diharapkan.

“Saya memang dapatkan khidmat sebuah pusat jagaan berpantang berdekatan sini. Selepas dua minggu dan kuat sedikit saya kembali ke rumah baru kami untuk teruskan berpantang sendiri. Tetapi saya banyak dibantu Shaheizy yang dari awal telah bercuti serta bersedia mental, fizikal untuk uruskan saya dan anak.

“Ibu mertua iaitu mummy juga banyak hulurkan bantuan. Lagi pun kami memang tinggal berdekatan dengan ibu mentua. Suami pun tidak kekok untuk keperluan saya dan anak. Sheriv pun senang hendak diuruskan. Cukup makan dan dalam keadaan selesa, kering dia boleh tidur lama. Seterusnya saya boleh uruskan perkara-perkara lain di rumah.

‘Disebabkan saya bersalin secara pembedahan, jadi ada beberapa perkara seperti bertungku tidak dapat lakukan. Tetapi sudah pasti saya juga ingin kelihatan ramping dan seperti sebelum ini. Saya juga ada lakukan sedikit senaman dan menjaga pemakanan seperti orang lain berpantang,” ungkapnya turut mengalami berat badan mendadak ketika hamil dan kini gembira beratnya kembali ke 50kg.

Syatilla turut teruja berkongsi pengalamannya menyusukan anaknya secara eksklusif hingga ke saat ini. Selain mengamalkan pemakanan yang sihat untuk bekalan susu yang sempurna untuk Syeriv, Syatilla mengakui dirinya tidak mengambil masa yang lama untuk kembali ke bentuk badan yang asal meski pun melahirkan anaknya secara pembedahan.

 

sumber :http://www.mingguanwanita.my