Menteri Sibuk Mahu Jumpa Pemain Selepas Berjaya Mara Ke Perlawanan Akhir – TMJ

Melalui entri terbaru di laman Twitter sebentar tadi, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) meluahkan perasaan ‘kurang senang’ baginda dengan sikap ahli politik terhadap pemain bola sepak negara.

“Susah senang kami bersama, bila dah menang barulah berebut-rebut semua politician nak jumpa kamu semua. Apa-apapun saya dibelakang anda semua. Saya doakan anda semua berjaya,” ujar baginda melalui entri tersebut.

Walaupun tidak memberikan gambaran secara terus, kenyataan oleh baginda tersebut boleh difahami dengan jelas. Bahawasanya tidak pernah ada pihak yang pedulikan pemain-pemain bola sepak selama ini sehinggalah pasukan negara mampu mencapai kejayaan.

Turut disertakan baginda dalam entri seterusnya ialah perbualan melalui aplikasi Whats App yang memaparkan perbualan baginda bersama-sama dengan dua pemain, dipercayai Safawi Rasid dan juga Aidil Zafuan.

Ia bukan perkara yang menghairankan TMJ menghubungi kedua-dua pemain, kerana Safawi dan Aidil adalah pemain JDT.

Melalui perbualan Whats App tersebut, turut didedahkan barisan pemain dijadualkan akan berjumpa dengan menteri-menteri. Apa yang dipersoalkan ialah tidak ada siapa di kalangan ahli politik berkenaan yang peduli akan cabaran skuad Harimau Malaya menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki sebelum ini – melainkan TMJ yang sempat melakukan pertemuan sebelum pasukan berlepas ke Kemboja untuk perlawanan pertama peringkat kumpulan.

TMJ merupakan bekas Presiden FAM. Walaupun tidak lagi menerajui FAM, baginda sentiasa mengikuti perkembangan semasa pasukan negara – selain daripada bekerjasama dengan FAM dalam pelbagai cara untuk menambah baik prestasi pasukan di pentas antarabangsa.

Mengenai pertemuan yang dirancang oleh ahli-ahli politik tersebut, bukankah lebih elok sekiranya pihak berkenaan melakukannya selepas kejohanan tamat? Ini untuk membenarkan barisan pemain memberikan fokus sewajarnya kepada apa yang mereka perlu capai buat masa sekarang.

sumber: semuanya bola