Laungan “Daulat Tuanku” Kedengaran Setelah Selesai Mesyuarat Khas Bagi Mengantikan Sultan Pahang Yang Baharu. Ini Yang Akan Berlaku Esok

KUALA LUMPUR: Laungan “Daulat Tuanku” kedengaran beberapa kali sebelum Mesyuarat Khas Jumaah Pangkuan Diraja Pahang, yang dipengerusikan Pemangku Raja Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tamat sepenuhnya.

Agenda utama mesyuarat itu difahamkan bagi melantik baginda sebagai Sultan Pahang yang baharu, menggantikan Ayahandanya Sultan Ahmad Shah yang kini sedang gering.

Sejurus mesyuarat itu berakhir, baginda berkenan mengambil gambar kenang-kenangan bersama Kerabat Diraja, berserta Ahli Jumaah Pangkuan Diraja yang lain.

Baginda juga sempat diberikan salam dan pelukan oleh Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sebelum pasangan Diraja itu berkenan mengambil gambar.

Sejurus kemudian, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak memaklumkan kepada media, akan ada satu sidang media khas mengenai keputusan mesyuarat khas itu, bertempat di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, 3 petang esok.

Tengku Abdullah-Doakan Yang Baik-Baik Ya

Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang bersidang hari ini dengan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi pengerusinya.

Pertemuan berlangsung di Hotel Pullman Kuala Lumpur di Jalan Conlay itu menarik perhatian selepas Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod Tengku Abdullah ketika ini ialah pemangku Sultan Pahang ekoran keadaan kesihatan Sultan Ahmad Shah yang tidak mengizinkan.

Tinjauan Malaysiakini mendapati antara tokoh yang menyertai pertemuan hari ini ialah bekas perdana menteri yang juga anggota parlimen Pekan Najib Razak dan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagaimanapun Tengku Abdullah cuma memberi kenyataan ringkas ketika ditanya wartawan sejurus sebelum memasuki bilik mesyuarat.

“Assalaimualaikum… doakan yang terbaik ya,” titah Tengku Abdullah yang diiringi adiknya Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Al-Haj.

Tidak dapat dipastikan apakah agenda mesyuarat tersebut.

Terdahulu media melaporkan ada kemungkinan Tengku Abdullah akan ditabalkan sebagai sultan yang baru untuk Pahang bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah.

Langkah itu juga membuka kemungkinan Tengku Abdullah dilantik mengisi kekosongan jawatan Agong selepas pengunduran Sultan Muhammad V.

Mengikut sistem penggiliran Agong, selepas Kelantan jawatan Agong akan disandang oleh Sultan Pahang.

Majlis Raja-raja akan bersidang pada 24 Jan ini bagi melantik Agong ke-16 dan majlis mengangkat sumpah dijangka diadakan pada seminggu kemudian.

Sehingga Agong yang baru dilantik Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga timbalan Yang di-Pertuan Agong kini menjadi pemangku Agong.

Sumber: astroawani.com