Kisah Abang Mat : Melayu Muslim Yang Minum Arak Sejak Berusia 23 Tahun

Sebagai seorang wartawan, salah satu hobi beliau adalah menemuramah ahli masyarakat secara spontan di mana dia berada. Hayatilah kisah Abang Mat (bukan nama sebenar) seperti yang diceritakan kepada Ali Imran salah seorang wartawan bagi agensi berita BERNAMA.

“Saya dahulu umur 23 dah kena darah tinggi. Masa itu saya kuat minum arak.”

Aku duduk semeja di Gerai Ah Kow, dengan Abang Mat (bukan nama sebenar) yang terletak di kalangan Medan Selera Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru. Aku menantikan ayat seterusnya dari beliau dengan penuh minat.

“Dahulu bila minum arak sambil makan sate. Kerja waktu itu dalam hutan, duit ada, dalam hutan minum, keluar hutan pergi joli,” sambung Abang Mat.

“Bir sebotol baru seringgit lebih! Murah! Bukan macam sekarang dah berbelas ringgit,” sambung beliau.

Awal 80-an beliau merantau ke Kuala Lumpur dari Perak selepas meletakkan jawatan sebagai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Bila dah datang KL cara hidup dah lain. Masa dalam hutan kita banyak berjalan. Minum (arak) dan makan sate banyak mana pun tak apa.” Dia sengih panjang. “Dah datang KL dah tak exercise tapi minum arak masih sama macam masa dalam hutan, memanglah rosak badan.”

Kerja pertama Abang Mat di KL sebagai pengawal keselamatan. Pendapatan sedikit memaksa beliau bekerja di dua tempat. Waktu siang menjaga bangunan, malamnya menjaga rumah orang besar Maybank di Ukay Heights.