Kes ca bul remaja bawah umur: Datuk Seri Shahidan Kassim dedah apa sebenarnya yang berlaku

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim pada Rabu tampil mengesahkan telah dipanggil pihak polis bagi memberi keterangan berhubung kes cabul remaja bawah umur.

“Saya telah memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis dan saya harap semua pihak tidak memanjangkan perkara ini kerana ia menjejaskan maruah anak perempuan tersebut,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, Rabu.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melahirkan rasa kesal apabila kes tersebut tular di media sosial memandangkan pihak keluarga remaja terbabit telah menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Saya tertanya-tanya kenapa tular? Kenapa kes itu dikeluarkan? Kes ini keluarga dah tarik balik, tapi yang buka cerita ini adalah tuan-tuan (media sosial).

“Saya kesal sebab kes ini melibatkan kanak-kanak dan gambar serta kad pengenalan dia dipamerkan. Kasihan kanak-kanak ini sebab dia bukan ada apa-apa kepentingan,” kata Shahidan yang turut meminta semua pihak berhenti menyebarkan perkara itu.

Bekas Menteri Besar Perlis itu tidak menolak penularan kes itu ada kaitan dengan motif politik.

“Saya sebagai orang politik sudah pasti akan dibuat macam-macam oleh musuh-musuh politik, tetapi saya akan menghadapinya dengan rela dan reda,” katanya.

Shahidan berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan perkara tersebut.

Pada Selasa, Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata siasatan kes cabul remaja berusia 15 tahun itu yang membabitkan seorang Ahli Parlimen di Perlis, hampir selesai setelah pihak polis merekodkan keterangan 10 individu termasuk kenyataan suspek di Bukit Aman.

Noor Mushar berkata pihaknya menjangkakan kertas siasatan siap dalam masa terdekat dan dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian sebelum diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Shahidan Kassim & Skandal Cabul Remaja 15 Tahun – Kronologi Kes.

KRONOLOGI | Semua ini bermula apabila Pengerusi MyWatch, Datuk Sri R. Sanjeevan mendedahkan perkara itu di Twitternya malam tadi.

Perkara itu kemudiannya dipetik oleh beberapa media tempatan dan dilaporkan secara berleluasa.

Polis bukan sahaja mengesahkan dakwaan tersebut adalah benar bahkan mengesahkan laporan polis yang dibuat oleh remaja itu pada 20 Oktober 2018 sememangnya telah ditarikbalik oleh keluarga remaja tersebut.

Susulan dari beberapa laporan itu, Sanjeevan kemudiannya tampil mendedahkan nama bekas menteri yang dimaksudkannya dalam TWEET sebelum ini.

Menurut Sanjeevan, bekas menteri itu ialah Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Arau yang juga dari parti UMNO.

Laporan polis itu ditarikbalik kerana keluarganya enggan memanjangkan perkara tersebut.

Kes berkenaan dilaporkan oleh The Malaysian Insight adalah seperti berikut;

Menurut laporan itu, gadis itu memasuki kereta suspek selepas diberitahu oleh seorang lelaki yang dipercayai guru beliau bahawa suspek ingin melihatnya.

Mangsa yang berasal dari Arau itu tampil dengan kumpulan yang bernama Kumpulan Aukustika pada 7 @ DSSK Busker di Stadium Tuanku Syed Putra.

“Beliau tampil bersama kumpulan itu sebelum seorang lelaki yang disebut sebagai ‘Cikgu Azhar Hassan’ memberitahunya bahawa suspek ingin melihatnya di dalam kereta.

“Gadis itu bersetuju. Kedua-dua suspek dan mangsa menghabiskan 20 minit di dalam kereta di mana suspek telah menawarkan gadis itu peluang untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Beliau ditawarkan RM4,000,” kata sumber lain.

Pelajar sekolah menengah itu memutuskan untuk keluar dari kereta selepas ahli politik veteran itu menyentuh bahunya tanpa persetujuan daripadanya.

Sebelum menyentuh bahunya, dia memegang tangan gadis itu.

“Gadis itu pergi dan berlari selepas berasa takut tetapi kami tahu bahawa lelaki itu hanya memegang tangannya dan membelai bahunya.”

“Dia tidak menyentuhnya di tempat lain,” kata sumber itu.

Sementara itu dalam perkembangan yang berkaitan, beberapa pihak tampil memberikan pandangan berhubung laporan polis yang ditarikbalik itu.

Antaranya peguam PKR, Latheefa Koya.

“Ini membingungkan kerana laporan polis yang dibuat atas kesalahan jenayah tidak boleh ditarik balik. Ia mesti disiasat.

“Hakikat bahawa kanak-kanak itu tiba-tiba menarik balik laporan itu adalah satu amaran yang perlu diambil perhatian dan ia sangat membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Latheefa juga menyeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk segera melindungi gadis itu dan menyiasat perkara tersebut.

“Kementerian Wanita, yang bertanggungjawab terhadap mangsa penderaan seksual, harus segera mencari gadis muda ini dan memastikan beliau mendapat perlindungan, bantuan dan kaunseling yang sesuai”.

“Sebaliknya, jika terdapat asas untuk laporan itu tanpa mengira sama ada ia ditarik balik, maka mengapa pelaku atau suspek masih bebas?

“Polis perlu segera mendapatkan bukti, termasuk menangkap suspek yang dinamakan oleh gadis itu.

“Jelas sekali perkara ini melibatkan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak, ia mempunyai kepentingan awam yang serius; dan menjadi lebih serius kerana dikatakan melibatkan seorang ahli politik terkemuka,” katanya lagi.
PDRM pula menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya telah menutup kes berkenaan. Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner,
Noor Mushar Mohd.

Noor Mushar Mohd, dipetik sebagai berkata, Sanjeevan tidak mengetahui prosedur sebenar yang dilakukan oleh pihak polis.

“Aduan (didakwa) itu sudah ditarik balik oleh pengadu pada hari yang sama dia membuat laporan kepada pihak polis, minggu lalu.

“Walaupun aduan sudah ditarik balik, namun pihak polis masih melakukan siasatan dan ada pihak yang dipanggil untuk diambil keterangan.

“Malah, pihak polis sedang mendapatkan nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya mengenai kes ini sama ada ia boleh diteruskan untuk pendakwaan atau tidak,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro hari ini.

Noor Mushar juga berkata, beliau berharap Sanjeevan jangan campur tangan kerana dibimbangi dia boleh didakwa kerana mengganggu siasatan polis.

“Kita tidak melindungi sesiapa meskipun pesalah itu daripada golongan kelas atasan sekali pun.

“Seeloknya dia (Sanjeevan) tidak mencampuri urusan polis kerana dakwaan yang dilakukannya seolah-olah dia tidak mengetahui prosedur yang dijalankan pihak kami,” katanya.

Di sosial media kelihatan penyokong parti telah membuat beberapa spekulasi liar.

sumber: amenoworld.org

VIDEO:

Sidang media Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen berhubung kes cabul yang dilaporkan berkaitan dengan dirinya, hari ini.
Laporan Mojo Sinar Harian, Hanum Rajak