Kapal layar mewah Equanimity yang berharga RM1 bilion bakal dijual dengan hanya separuh harga. Rupa2nya ini sebabnya

 

KUALA LUMPUR: Kapal layar mewah Equanimity dipercayai milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikatakan mencecah RM1 bilion dijangka hanya boleh dijual pada separuh harga.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa, berkata ia berikutan aset terbabit akan mengalami susut nilai.

Sivarasa yang memberikan pandangan peribadinya berkata kemungkinan kapal layar yang dibeli melalui penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu hanya dapat dijual dengan harga RM500 juta.

“Kapal layar super mewah itu kini berada di Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan sedia untuk dijual.

“Kita tidak akan dapat banyak kerana kapal itu seperti kereta akan susut nilai… bila beli hari ini dan esok apabila mahu dijual ia akan turun harga

“Ia mungkin dibeli dengan harga RM1 bilion tetapi saya rasa kita agak beruntung kalau dapat jual kemungkinan harganya sekitar RM500 juta,” katanya.

Sivarasa berkata demikian dalam ucapannya pada sesi plenari Equanimity: Perspective On Handling Criminal Investigations Relating To Government Corruption And Abuse Of Power pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2018 anjuran Badan Peguam Malaysia di sini hari ini.

Persidangan selama empat hari itu berakhir hari ini.

Peguam Negara, Tommy Thomas, sebelum ini dilaporkan berkata Equanimity yang didakwa dibeli daripada penyelewengan dana 1MDB akan dijual dalam masa tiga atau empat bulan jika tiada pihak menuntut pemilikan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peserta pada sesi plenari, Sivarasa berkata, usaha untuk membawa pulang aset dan wang yang diselewengkan daripada dana 1MDB di luar negara tidak akan mengambil masa lama kerana ia sudah dibekukan di Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

Bagaimanapun beliau berkata, melalui pandangannya sebagai seorang peguam dan melihat kepada skandal 1MDB yang agak kompleks, proses pendakwaan skandal itu agak mengambil masa kerana pendakwaan perlu mempersiapkan kes dengan penuh teliti.

Katanya, kes terbabit bukan saja membabitkan Jho Low, malah beberapa individu lain dan syarikat di luar negara.

“Wang dan aset itu tidak mungkin dapat diselewengkan melainkan dengan pembabitan semua pihak ini,” katanya.

Sementara seorang lagi ahli panel, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) S Thangavelu yang turut berkongsi pendapat dengan Sivarasa berkata proses perundangan jenayah memerlukan pihak kerajaan membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Jika kita (pendakwaan) tidak mendapat keseluruhan gambaran mengenai kes ini, bagaimana hendak mengemukakan kes ke mahkamah.

“Bagaimana hakim akan menilai pengumpulan fakta dengan sewajarnya jika ia tidak lengkap kecuali kita berjaya mengemukakan saksi dan esksibit yang kukuh,” katanya.

Thangavelu berkata, tindakan penyitaan kapal Equanimity adalah langkah awal dan bijak yang diambil kerajaan untuk mendapatkan balik aset dan wang 1MDB di luar negara.

Katanya, walaupun sudah dapat dipastikan keberadaan wang dan aset, kerajaan perlu mendapatkan fakta, angka dan data yang sah serta teratur sebelum boleh membuat permohonan untuk menuntut daripada negara luar.

Sementara itu Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat, berkata tuntutan berkenaan dijangka dapat diselesaikan dalam masa singkat.

“Saya tidak rasa ia akan mengambil masa lama untuk menuntut balik wang dan aset itu.

“Ini kerana siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sudah mengenalpasti transaksi aliran masuk keluar wang berkenaan.

“Jika anda melihat laporan itu mereka sudah mengenalpasti di mana aset terbabit dan aliran wang berkenaan serta setiap transaksi,” katanya.

sumber: bharian