“Jangan terjun, mak sayang lagi ni” – Usikan ibu 3 minggu lepas..

KERAJAAN Terengganu akan menganugerahkan penghargaan untuk Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, sebagai mengenang jasa Allahyarham yang lemas selepas membantu menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penghargaan itu yang belum ditentukan bentuknya akan diberikan sebagai penghargaan atas keberanian dan sifat terpuji Allahyarham.

“Sebagaimana kita tahu, Allahyarham melakukan sesuatu yang terpuji apabila mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan bukan seorang, tetapi lima mangsa dalam kejadian itu.

“Dalam keadaan arus sungai di situ agak deras, beliau sanggup terjun. Malah, Allahyarham juga adalah yang pertama terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Difahamkan Allahyarham sempat membantu menyelamatkan dua mangsa, namun akhirnya beliau terkorban.

“Ini satu sikap dan akhlak yang sangat terpuji. Saya sendiri akan usulkan dalam mesyuarat EXCO minggu ini untuk diberikan anugerah khas buat Allahyarham Abdul Bari atas kejayaan dan sifat terpuji beliau yang patut dicontohi seluruh belia dan rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau ditemui ketika menziarahi jenazah dan keluarga Allahyarham Abdul Bari di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian itu, Abdul Bari sempat membantu menyelamatkan dua mangsa daripada lemas sebelum dia hilang di permukaan sungai.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri juga mengucapkan tahniah kepada lima lagi pemuda yang turut terjun ke sungai berkenaan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

“Insya-Allah, mereka juga akan diberikan penghargaan. Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus melakukan usaha mencari sehingga mangsa ditemui,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Abdul Bari Asyraf akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Merbau selepas solat Zohor.

Dalam kejadian itu, Abdul Bari Asyraf lemas apabila niat murninya membantu menyelamatkan lima individu yang hampir lemas di sungai berkenaan gagal, apabila dia hilang dari permukaan air.

Dalam usahanya membantu, dia sempat menyelamatkan seorang daripada lima individu terbabit iaitu seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Abdul Bari Asyraf yang dalam keadaan lemah sempat menghulurkan kanak-kanak terbabit kepada orang awam yang berada di jeti berhampiran pulau berkenaan sebelum tenggelam.

Luahan bapa Abdul Bari:

Justeru, Mohd dan keluarga tidak putus mendoakan Abdul Bari Asyraf ditemui.

Mohd berkata, dia reda dengan kejadian menimpa anaknya biarpun tragedi menyayat hati itu meninggalkan kesan mendalam terhadap keluarganya.

“Dalam keluarga saya, hanya ada dua anak lelaki, manakala enam lagi anak perempuan. Sudah tentu kehilangannya sangat dirasai, apatah lagi pemergiannya berlaku secara mengejut.”

“Namun saya berbangga kerana kejadian menimpanya berlaku kerana niat murninya mahu menyelamatkan nyawa orang lain dan saya tenang dengan apa yang berlaku.”

“Tak guna kita menangis meraung kerana apa yang berlaku adalah ketentuan Illahi,” katanya sayu ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohd berkata, Abdul Bari Asyraf yang bekerja sebagai pengimpal di bengkel di Kampung Merbau Patah, Jalan Kuala Berang, di Kuala Terengganu, adalah anak yang baik dan ramah dalam kalangan keluarga serta sangat disenangi rakannya.

“Dia memang minat memancing. Malah pada hari kejadian (semalam), dia baru balik daripada memancing di Kampung Seberang Takir.”

“Dia keluar semula selepas solat Asar apabila rakannya mengajak dia memancing di Pulau Warisan dan ketika itu saya tiada di rumah kerana menziarah orang meninggal di Kampung Pasir Panjang,” katanya.

Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jenagor, Hulu Terengganu itu berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau petanda pelik sebelum kejadian.

Sumber : Hmetro