Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja… pilu nasib 5 beranak

PETALING JAYA: Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang boleh digambarkan terhadap nasib lima beranak yang bakal diusir dari rumah sewa mereka menjelang minggu depan.

Tidak cukup dengan itu, bayi ketiga mereka yang disahkan menghidap penyakit jantung berlubang pula dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dilahirkan pra matang pada usia kandungan tujuh bulan, April lalu.

Menambahkan lagi dugaan keluarga ini, si ibu, Nuryusma Ayob pula menghidap empat penyakit dan suaminya pula, Muhammad Fashan Johari baru sahaja diberhentikan kerja sebelum Aidilfitri baru-baru ini.

Dalam kemeriahan sambutan Syawal, Yusma, 30 dan Fashan, 34, berhadapan dengan pelbagai cabaran yang meruntun jiwa.

Berkongsi kisah duka itu kepada mStar Online, Yusma ternyata sebak dengan apa yang menimpa mereka sekeluarga, khususnya nasib anak bongsunya, Nur Aisy Arsylia yang baru berusia dua bulan.

image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/06/26/dugaan-keluarga-aisy/~/media/508f63b2c102488594c2dd42b8afd257.ashx?la=en&h=349&w=620

“Kami ada terfikir untuk pindah ke rumah pusaka di Kuala Kangsar kerana sudah tidak mampu bayar sewa rumah di Sentul, tapi Baby Aisy pula dirawat di HKL. Di sana (Kuala Kangsar) tiada doktor pakar untuk kes anak saya.

“Saya juga sering dimasukkan ke hospital kerana penyakit buah pinggang, diabetis, radang otak dan masalah tulang belakang.

“Suami sebelum ini kerap cuti untuk jaga saya dan anak menyebabkan majikannya dah tak boleh bertolak ansur lagi, sebelum raya dia diberhentikan kerja,” ujarnya sewaktu dihubungi, Selasa.

Tambah meruntunkan jiwa, neneknya pula baru sahaja meninggal dunia dua hari lalu.

Jelas ibu kepada tiga anak itu, dia kini buntu memikirkan nasib mereka sekeluarga.

“Saya dan suami sedang fikir penyelesaian untuk masalah kami. Selain  mencari kerja, kami juga fikir untuk mencari rumah sewa baharu yang lebih murah.

“Kami tak mampu untuk melunaskan sewa rumah. Pemilik beri tempoh sehingga 6 Julai depan sahaja.

“Kami sebelum ini pernah memohon bantuan Baitulmal tapi tidak berjaya,” tambahnya lagi.

image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/06/26/dugaan-keluarga-aisy/~/media/85076578c9e047f38eadda4610ad1568.ashx?la=en

Biarpun sedih dengan apa yang berlaku, wanita ini mengakui hatinya masih cekal dan kuat kerana sokongan anak-anak dan suami.

Malah, mereka sekeluarga reda dengan apa yang menimpa dan cuba sedaya-upaya untuk keluar dari kesulitan yang dihadapi.

“Saya pernah rasa macam nak mati je sebab susahkan suami, tapi Alhamdulillah dia adalah sahabat terbaik saya selain anak-anak.

“Anak saya pun selalu cakap, mak kan kuat… itulah yang memberi kekuatan pada saya,” ujarnya lagi.

Yusma dan suaminya berkahwin pada 2007 dan selain Aisy, pasangan ini dikurniakan dua lagi cahaya mata perempuan berusia lapan dan empat tahun.

Sementara itu, usaha sahabat suaminya yang menularkan kisah mereka di laman sosial sedikit-sebanyak membantu apabila ada individu yang sudi menyalurkan bantuan.

Jelas Yusma, walaupun tidak mengenali individu berkenaan, dia berterima kasih di atas keprihatinan mereka terhadap dirinya sekeluarga.

“Terima kasih kepada yang membantu, saya tak tahu nak cakap macam mana. Tapi saya harap keadaan kami akan kembali seperti sedia kala,” katanya lagi.

Mereka yang sudi untuk meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank atas nama Nuryusma Ayob – 157091150755.

Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh menghubungi Yusma di talian 011-61182360 atau Fashan (019-3536033).

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/06/26/dugaan-keluarga-aisy/#5V4DiAHUG8ijJq3f.99