Dilemma Solat Dua Imam Di Hentian R&R? Ini Penjelasan Yang Mudah Dan Ringkas

SETIAP kali musim cuti umum berangkai seperti hujung minggu ini disambung dengan cuti umum Thaipusam, ramai rakyat Malaysia mengambil peluang bermusafir. Sama ada untuk balik kampung menziarahi ibu bapa dan sanak saudara ataupun bercuti dengan keluarga.

Alhamdulillah dalam kita menghubungkan silaturahim yang juga diberi ganjaran pahala, kita juga menghidupkan sunnah Rasulullah SAW iaitu solat berjemaah. Di negara kita, hentian Rehat dan Rawat (R&R) semuanya dilengkapi kemudahan surau yang selesa.

Memang kalau berada di suraunya kita dapati ramai yang solat jemaah berbanding solat sendirian. Cuma dilemanya sering berlaku solat dua imam atau lebih di R&R. Sebabnya, masing-masing membuat jemaah sendiri dan tidak mengikut imam dalam jemaah yang terawal. Ini barangkali disebabkan keliru berkaitan hukum solat jamak dan qasar.

Image result for sembahyang dalam surau rnr

Ia menyebabkan sebahagian mereka yang bermusafir memilih solat jemaah yang baharu sedangkan di dalam surau pada ketika itu telah ada solat berjemaah. Ini kerana mereka sangka jemaah itu solat secara tamam (penuh) sedangkan mereka ingin melakukan solat jamak dan qasar. Isu ini tidak sepatutnya timbul pada asalnya. Ini kerana, tatacara melaksanakan solat dalam keadaan sebegini akan menjadi mudah jika kita ikut panduan berikut:

Sekiranya orang yang bermusafir itu masuk ke surau R&R dan mendapati solat berjamaah sedang didirikan, hendaklah dia mengikuti solat berjamaah tersebut.

Jika dia dalam keadaan muafik iaitu mengikuti solat berjemaah dari awal solat dan imam solat secara tamam (solat penuh empat rakaat), hendaklah dia mengikut imam sehingga selesai solat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Apabila imam bertakbir, hendaklah kamu bertakbir. Apabila imam rukuk hendaklah kamu rukuk dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun. (Riwayat al-Bukhari)

Dalam satu riwayat daripada Ibn Abbas r.a bahawa beliau ditanyakan: Mengapakah orang musafir itu menunaikan solat dua rakaat ketika bersendirian dan solat empat rakaat apabila dia berimam orang yang mukim? Jawab Ibn Abbas: Yang demikian itu adalah sunnah. (Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah, 2/64).

Adapun, jika orang musafir itu masbuk iaitu lewat beberapa rakaat daripada imam, apabila imam selesai memberi salam hendaklah dia terus berdiri dan menyelesaikan solat secara qasar (pendekkan rakaat daripada empat kepada dua), kerana dia seorang musafir.

Dalam hal ini, Prof. Dr. Muhammad Al-Zuhaili berkata: “Sekiranya seseorang yang bermusafir itu mengikut imam yang mukim maka menjadi kelaziman buatnya untuk solat secara tamam (penuh). Ini kerana ia merupakan solat yang wajib untuk disempurnakan (solat secara penuh).”

Beliau berkata lagi: Sekiranya (orang yang bermusafir itu) mengikut imam yang bermusafir dan dia jahil (tidak mengetahui) niat imamnya (sama ada beliau solat tamam atau qasar) maka dia boleh mentaklidkan niatnya (mengikat niat) iaitu dengan cara: “Jika dia (imam) qasar maka aku pun qasar dan sekiranya dia solat tamam (solat penuh) maka aku pun tamam”.

Mengikut pendapat paling sahih taklidnya itu adalah sah. Maka sekiranya imam solat tamam dia pun turut solat tamam dan sekiranya imam solat qasar maka dia pun solat qasar. Ini kerana zahir dari keadaan musafir adalah qasar. [Rujuk Al-Mu’tamad fil Feqh Al-Syafi’e, Dr. Muhammad Al-Zuhaili (1/475)]

Bagi mereka yang bermukim (tidak bermusafir), apabila solat berjemaah dan dia mendapati imam solat secara qasar, maka apabila imam selesai memberi salam hendaklah dia bangun dan menghabiskan bilangan rakaatnya secara penuh. Ini kerana dia tidak memiliki syarat-syarat menqasarkan solat.

Satu lagi persoalan, bolehkah makmum yang bermukim berimamkan orang musafir. Dalam isu ini ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain. Beliau berkata: Aku pergi berperang bersama nabi SAW dan aku turut bersama baginda dalam Fathu Makkah (pembukaan kota Mekah). Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dan tidak menunaikan solat melainkan secara dua rakaat. Lalu baginda berkata kepada penduduk negeri tersebut: Wahai penduduk negeri (Mekah) solatlah kamu sebanyak empat rakaat, sesungguhnya kami kaum yang bermusafir. (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis di atas, fahamlah kita bahawa orang yang tidak bermusafir boleh berimamkan orang yang musafir. Cuma hendaklah dia solat empat rakaat, iaitu menyempurnakan baki rakaat sejurus imam yang musafir itu selesai solatnya sebanyak dua rakaat (kerana qasar).

Sumber: Utusan.com.my