“Chatchai membuat gaya tidur dihadapan bangku simpanan Malaysia semasa..“ – Syafiq Ahmad

Syafiq Ahmad menjelaskan, insiden itu sebenarnya berpunca daripada Chatchai sendiri yang melakukan provokasi ketika gol kedua Thailand dijaringkan pada minit ke-63 apabila dia berlari ke arah bangku simpanan Malaysia dengan membuat gaya tidur kepada pemain dan pegawai pasukan.

Tidak hanya terhenti di situ, penjaga gol berusia 31 tahun itu sekali lagi mengulangi aksi ‘terlampaunya’ apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan namun sepakan yang diambil Adisak Kraisorn melambung tinggi untuk membawa Harimau Malaya ke final.

“Sebenarnya ramai tak nampak apa hal sebenar yang berlaku di atas padang. Sebenarnya provokasi dimulakan  penjaga gol Thailand yang datang ke ‘bench’ dan mengejek kita macam-macam.

“Siapa yang tak geram bila tengok pemain tuan rumah menghina kita. Jadi bila pengadil tiup wisel, kami secara spontan lari dan buat balik apa yang dibuat kepada kita.

“Itu saja. Tapi selepas itu penjaga gol mereka datang dan bersalaman dengan kami,” katanya kepada Sukan NSTP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Bagi tonggak pertahanan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak, dia mengakui turut geram dengan sikap Chatchai yang tidak menghormati pasukan lawan sejak sidang media praperlawanan lagi.

“Dia dari sidang media sebelum perlawanan lagi dah mulakan provokasi. Katanya, pemain Malaysia akan dapat mimpi ngeri selepas tamat aksi.

“Sekarang saya rasa dia yang dapat mimpi ngeri dan tak boleh tidur lena sepanjang malam tadi. Apapun, kami sebagai pemain profesional dah ‘ok’ dan ia biasa dalam bola sepak,” katanya.

Malaysia kini hanya tinggal selangkah untuk menjulang Piala AFF buat kali kedua selepas kali terakhir memenangi trofi itu pada 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal dengan pengendali ketika ini adalah penolong kepadanya.

 

sumber hmetro