“Cedera terkena tayar basikal dibuang dari rumah pangsa”-Remaja ini dedah apa yang berlaku

 

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun nyaris maut selepas terkena tayar basikal yang dibuang dari tingkat atas flat dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia Blok 41 9.30 pagi semalam.

Susulan itu, mangsa, Muhammad Iqmal Abdul Razak, terpaksa menerima 15 jahitan di kepala selain luka pada bahagian siku.

Muhammad Iqmal berkata, ketika kejadian, dia baru saja turun dari rumahnya di tingkat enam untuk pergi ke tempat kerja.

Katanya, ketika berada di bawah flat itu, dia sedang berjalan sambil berbual dengan seorang rakannya.

“Ketika berbual, tiba-tiba bahagian kepala terasa macam meletup seperti ada benda berat menimpa. Saya rasa melayang seperti mahu pitam dan sakit di bahagian atas kepala,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Menurut Muhammad Iqmal, dia tidak mengetahui apa yang menimpa kepalanya pada waktu itu dan berada dalam keadaan separuh sedar.

Katanya, rakannya memberitahu dia terkena tayar basikal yang dibuang dari tingkat atas.

“Waktu itu, terus saya teringat kejadian seorang remaja meninggal dunia selepas terkena kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas dan berharap nasib saya tidak sepertinya,” katanya.

Remaja itu berkata, kejadian itu turut dilihat oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, selepas mendapat rawatan, dia membuat laporan kepada DBKL dan laporan polis di Balai Polis Setapak.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Muhammad Ikram Abdul Razak, berkata adiknya bernasib baik kerana objek yang dibaling tidak kena tepat pada bahagian tengah kepala dan tidak menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, dia berharap agar pihak berkuasa memandang serius kejadian itu kerana ia boleh membawa maut jika objek berkenaan terpacak di kepala atau terkena kepala kanak-kanak.

“Mujur tayar basikal lengkap dengan besi pengikat tidak jatuh terpacak di kepala adik saya dan hanya menyebabkan kecederaan sahaja.

“Biarpun hanya cedera, saya tetap berharap agar pihak berkuasa menyiasat agar kejadian seperti itu tidak berulang.

“Mungkin hari ini hanya cedera, esok-esok siapa tahu, ada pula yang mati terkena objek dibuang penduduk tidak bertanggungjawab,” katanya.

VIDEO:  Campak barang dari tingkat atas sampai ada yang cedera, malah terb unuh. Sikap tidak bertanggungjawab seperti ini masih membelenggu masyarakat kita.

#METROTV Campak barang dari tingkat atas sampai ada yang cedera, malah terbunuh. Sikap tidak bertanggungjawab seperti ini masih membelenggu masyarakat kita. Kupasannya dalam #KalendarJenayah, malam ini.

Posted by Harian Metro on Friday, 9 November 2018

Polis sedang mengesan saksi dan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membantu membawa seorang remaja lelaki yang cedera di kepala akibat terkena tayar basikal yang dibaling dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia.