5660 1062 6452 nombor akaun bantu bayar hutang negara. TABUNG HARAPAN MALAYSIA (THM)

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan Tabung Harapan Malaysia (THM) khusus bagi membolehkan rakyat negara ini menyumbang bagi meringankan beban hutang negara.

Perdana Menteri berkata, tabung amanah khusus itu adalah saluran untuk rakyat menderma bagi membantu kewangan kerajaan.

“Ramai rakyat bila tahu kewangan negara buruk mereka sanggup untuk beri derma untuk kerajaan, kita alu-alukan sikap patriotik mereka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya, Rabu.

Dr Mahathir berkata, semua derma yang diterima daripada rakyat ini akan dikendalikan Kementerian Kewangan.

“Derma ini akan dikendalikan pihak bertanggungjawab dalam kerajaan iaitu Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan rasmi telah mengumumkan nombor akaun Malayan Banking Berhad untuk tujuan berkenaan iaitu 566010626452.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat negara ini di atas keprihatinan dan sumbangan ikhlas dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.

Baru-baru ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak dapat menahan sebak apabila rakyat secara terbuka berhasrat untuk menyumbang untuk membantu membayar hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/05/30/tabung-harapan-msia/#jL7r35BtPUZKsCdZ.99

Nurul Izzah sebak, rakyat nak bayar hutang negara.

PETALING JAYA: Air mata Nurul Izzah Anwar tumpah ketika ditanya tentang perasaannya mengenai inisiatif rakyat Malaysia yang sanggup mengutip dana bagi membayar hutang negara yang kini didakwa mencecah RM1 trilion.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau berasa amat berbangga apabila ada sekumpulan rakyat negara ini terbuka hati untuk cuba meraih dana bagi membantu menyelesaikan hutang tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Hutang negara cecah RM1 trilion

“Saya sangat bangga menjadi rakyat Malaysia pada masa ini…kita dilemparkan dengan pelbagai serangan, orang kata kita tak mungkin berubah, tak berani, tapi bukan sahaja 82 peratus, setengah daripadanya pengundi antara 21 hingga 39 tahun keluar mengundi.

“Ada pula yang terbuka hati untuk cuba meraih dana untuk membayar hutang. Kita nak cuba mengukur kehebatan sebuah negara bukan menerusi bangunan, tapi macam mana mereka bersedia untuk berkorban dan keprihatinan mereka (kepada negara),” katanya ketika temubual langsung bersama Sinar Harian pada Ahad.

Nurul Izzah dilihat tidak dapat menahan air matanya kerana dipercayai terharu dengan kesanggupan rakyat Malaysia untuk berubah dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau ingin orang awam tahu ada pihak yang berani melawan kerajaan yang mentadbir negara selama 60 tahun sebelum ini walaupun tiada jaminan akan menang.

“Saya masuk politik dan bertanding tu adalah cara saya nak berterima kasih kepada mereka yang mendukung kami dan perjuangan reformasi.

“Saya nak lebih ramai anak muda terlibat, maka saya amat teruja.. maaf sedikit emosi,” katanya pada sesi temubual ‘PRU14: Manifestasi kemarahan rakyat atau kesedaran pengundi’.

Pada sesi tersebut, Nurul Izzah antara lain menjawab tentang isu tujuan perincian hutang negara didedahkan kepada umum, janji manifesto Pakatan Harapan dan isu pemberhentian seramai 17,000 pekerja lantikan politik.

Sebelum ini, menteri kewangan, Lim Guan Eng memperincikan tentang bagaimana hutang negara sejumlah RM1 trilion itu dikira setelah dipersoalkan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa tindakan kerajaan mengumumkan hutang negara lebih tinggi daripada angka rasmi telah mengejutkan pasaran kewangan.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/05/27/nurul-izzah-emosi/#bs8w5LI3LCAJ3DRI.99